Friday, March 28, 2008

tag superhero


OK. Orang dah mula bising-bising bertanya bila aku nak buat 'tag' oleh Spenderman. Ya. Ya. Aku buatlah ni. Terlebih dahulu, terima kasih kepada Spenderman atas tugasan yang dimandatkan.

1. Apa 'superpower' idaman anda? Satu sahaja.
'Superpower' idaman aku adalah menyerap tenaga kemarahan, panas baran, kejahatan, ketidakadilan, kekufuran dan semua yang sekutu dengannya, hanya menggunakan tuala. Pelik? Pelik tapi benar, kalian.

2. Siapa 'superhero' atau watak yang mempengaruhi pilihan itu?
Aku nak 'eksen' dan cakap bahawa ini tak dipengaruhi mana-mana watak. Al-maklumlah aku jarang menonton cerita-cerita 'superheroes'. Tapi aku ada juga menonton Totally Spies, Kim Possible, My Life as a Teenage Robot, dan juga mengenali Rouge X-Men. Semua ini watak yang aku gemari tapi tak mempengaruhi pilihan aku. Asasnya tetap sama: Ingin mengalahkan kejahatan. Aku percaya bahawa pilihan aku ini lebih dipengaruhi oleh pramugari-pramugari kapal terbang yang memberi tuala panas untuk menyegarkan penumpang. Mungkin juga dipengaruhi oleh iklan 'kitchen towel' yang pantas menyerap tumpahan cecair. Dan satu lagi iklan wanita yang malas aku nak sebutkan di sini.

3. Kenapa 'superpower' yang itu?
Senang saja alasan aku. Kerana aku pemalas. Bukankah lebih baik aku kasik tuala saja kepada musuh aku dan dia terus saja menjadi tenang, daripada aku berlawan-lawan dengan penuh aksi tonggang terbalik dan berpusing-pusing untuk meraih kemenangan? Kenapa nak bersusah-susah sedangkan kita diberi kelebihan untuk memilih 'superpower' idaman kita di dalam 'tag' ini? Hiduplah dengan mudah, supaya darah kita tak tinggi, kencing kita tak manis. Memberi tuala panas adalah kerja yang tak memenatkan. Kualititas maksima yang aku perlukan hanyalah mengenalpasti orang itu benar-benar jahat atau marah dan bukannya sedang menjalani penggambaran filem atau pun terdesak hendak ke tandas. Intuisi sebegini tak memerlukan tenaga. Tambahan pula, kostum aku tak sesuai untuk bertendang-tendangan, berterbang-terbangan dan membuat aksi-aksi 'cheer-leading' di medan perang.

4. Apakah kelemahan kamu?
Oh. Aku sangat tak boleh nampak cecair dan bendalir. Kalau nampak, pasti aku akan lap hingga kering sehingga menggangu-gugat kerjaya aku sebagai 'superhero' idaman Malaya. Kalau kalian nak gaduh-gaduh, lawan-lawan secara fizikal, aku minta tolong sangat-sangat kalian jangan berpeluh. Karang sibuklah aku mengelap peluh kalian daripada menyerap aura jahat. Untuk itu, aku akan menggesa kerajaan agar memastikan seluruh rakyat Malaysia memakai deodoran anti-peluh, terutama sekali bagi mereka yang suka buat jahat dan berkejahatan tinggi. Jangan lupa 'spray' di dahi bagi mengelakkan peluh jantan daripada mengalir.

5. Apakah nama 'superhero' kamu?
Namanya, seperti tuala itu, yang menyerap tenaga jahat: Towel Lady. Kalian jangan pandai-pandai pula nak 'translate' nama 'superhero' ini ke Bahasa Melayu tunggang langgang hingga berbunyi 'tuala wanita'. Dan jangan bagi 'pet name' yang berunsur-unsur itu. Aku piang kang. Watak 'superhero' aku ini bukan sahaja memberikan tuala panas iaitu senjatanya yang berkuasa menyerap aura jahat, malahan dia juga menggunakan tuala sebagai kostumnya. Kalian perasan yang aku menggunakan kata ganti diri kedua iaitu 'dia' dan bukan 'aku' disitu? Kerana dia berkemban dan aku tidak. Haha. Hei. Hei. Jangan meliar fikiran tu. Fokus kalian, fokus!

6. Motto 'superhero' kamu pula?
Sambil berlalu pergi dan menoleh sekilas ke arah bekas musuh aku yang kini telah tenang dan insaf aku akan berkata, 'Fits me, my body, my life.'

Ahahahahahhahahahahha.

Dengan ini aku 'tag' manusia-manusia yang ingin mempamerkan kuasa di dalam diri mereka. Malas aku nak sebut nama kerana tak mau serabut otak kalian memikirkannya.

Sekian. Selamat berhujung minggu. Bzz, hutang langsai. OK tak?

Tuesday, March 25, 2008

konfius


Aku terfikir hari ini: 'What is it with men and the words-that-they-don't-like?

Dulu aku kawan dengan seorang yang bukan main pantang lagi kalau aku sebut perkataan 'Bodoh'.

Sebulan lalu aku kawan dengan seorang lagi yang tak benarkan aku guna perkataan 'Maaf' dan 'Kalau'. Sebenarnya aku tak ingat pun perkataan kedua yang dia tak suka. Kalau? Hm. Entah. Nampak sangat degil, tak mau dengar cakap. Hehe.

Sekarang pula, yang ini tak suka dengan perkataan 'Suka hati awaklah'.

Dan ya, sesetengah mereka telus saja berkata: I DON'T LIKE THOSE WORDS. Jadi, jangan gunakannya bila bercakap dengan mereka.

Susah kan? Bila perkataan-perkataan yang dah biasa kita gunakan di'banned' begitu. Jadi, kalau 'Maaf' tak dibenarkan, adakah aku patut gunakan 'Ampun' dalam ayat aku? Tiba-tiba fikiran menjadi kusut untuk mencari-cari perkataan ganti yang sesuai. Dan bila tanpa sedar perkataan itu terpacul dari mulut, otak menjadi 'blank' dan hati terdetik, 'Huh?' Tak tau nak buat apa. Terlajak perahu boleh ditarik. Tapi yang ini terlajak kata. "Ops! Saya tarik semula kata-kata saya tadi."

Kalian ada perkataan yang pantang kalian dengar? Ada perkataan yang kalian tak mau aku sebut? Nyatakan saja. Kongsi bersama. Supaya kurang tatabahasa aku dan boleh aku koyakkan perkataan tersebut dalam kamus hidup aku. Hah. Aku? Aku sendiri tak terfikir untuk 'ban' mana-mana perkataan. Belum, buat masa ini. Kusut memikirkan tatabahasa yang semakin berkurang. Mungkin aku patut diam saja.

P/S: Bzz, akan membuat 'tag' anda dalam masa yang terdekat. Terima kasih!

Sunday, March 23, 2008

tag dari preston


Ahah. Meniru tajuk Minci. Terima kasih atas 'tag' anda. Inilah hasil pembikinan aku.

LIST OUT THE TOP 5 PRESENTS YOU WISH FOR:

(a) Apple - Mac berwarna putih.
(b) Tiket penerbangan balik ke Malaysia, pergi-tak-balik-balik pada hari ini, di saat ini.
(c) 'T-shirts' yang 'cool', pelbagai warna dan corak yang 'fun', serta menenangkan aku.
(d) Kereta mewah yang besar dan maskulin, beserta seorang 'driver'.
(e) Tajaan untuk menjalani rawatan kulit.

LIST OUT THE REASONS FOR YOUR CHOICES:

(a) Supaya aku boleh 'feeling-feeling' Gadis sambil menaip sesuatu di atas skrinnya. Dan kerana putih kelihatan begitu suci.
(b) Aku nak berada di samping mereka yang berada di Malaysia, jauh dari kesejukkan bulan Mac.
(c) Memakai 't-shirts' yang kena dengan 'mood' aku akan menjadikan hari aku lebih menyeronokkan.
(d) Entah. Sekadar nak rasa kaya dan 'macho' tapi malas nak memandu.
(e) Seperti Nad, supaya kulit lebih licin dan sekata. Ahah.

THE PERSON WHO TAGG-ED YOU IS: Minci

5 IMPRESSIONS OF HIM/HER:
(a) Bijak
(b) Baik dan mengutamakan orang lain
(c) Rempit
(d) Mempunyai intonasi 'respon' yang pelik-pelik
(e) Busuk

MOST MEMORABLE THINGS HE/SHE HAS DONE FOR YOU:
Oh. Terlampau banyak. Umpamanya mengadakan majlis hari jadi aku dengan bersungguh-sungguh hingga aku 'blushing-blushing', belanja aku tiket pergi-balik London, memandu aku pergi-balik Putrajaya, teman aku 'dating' dan semua benda-benda kecil yang dia buat untuk aku. Oh, juga selalu menjadi setiausaha peribadi yang penyabar.

MOST LOVED INVENTION (doesnt have to be technically advanced)
Tiru Nad: Yahoo Messenger

WHAT DO YOU DESPISE THE MOST:
Orang yang tak fikir tentang orang lain.

6 PEOPLE YOU WANNA TAG:
1- Abrar Adit [matilah letak bunga nombor satu]
2- Bzz
3- Zuriani Kasim
4- Deanna
5- Minci [recycle adalah digalakkan]
6- Semua manusia yang sengaja atau tidak, membaca isen ini

Sekian~

P/S: I think I've drowned Abrar. Err. Isk!

Friday, March 14, 2008

keserasian


Sumber gambar: BradFitzpatrick
Conformity:
  1. Similarity in form or character; agreement: I acted in conformity with my principles.
  2. Action or behavior in correspondence with socially accepted standards, conventions, rules, or laws: conformity to university regulations.
Compatibility:
  1. Capable of existing or performing in harmonious, agreeable, or congenial combination with another or others: compatible family relationships.
  2. Capable of orderly, efficient integration and operation with other elements in a system with no modification or conversion required.
Sumber: Dictionary.com

Wow. Akhir-akhir ni fikiran aku berkecamuk. Aku 'confuse' dan 'drowsy' umpama baru lepas terkena serangan sawan. Mungkin juga aku kena 'stroke' iaitulah angin ahmar. Aku benar-benar perlukan bantuan kalian. Tolong tafsirkan untuk aku apa itu 'keserasian'. Dan adakah ia sesuatu yang sedia wujud dalam sebuah perhubungan, atau sesuatu yang perlu dipupuk?

Sila hantarkan penyertaan kalian di kotak komenan yang tertera. Kerjasama kalian amat aku hargai. 'Silent readers' amat-amat digalakkan untuk turut serta.




Tertakluk pada terma dan syarat yan ditetapkan. Sila jangan tiru jawapan aku yang ditiru daripada kamus. Aku ketuk nanti.

Untuk main-main, sila klik sini.

Tuesday, March 11, 2008

depresi


Ini adalah ruangan mengulangkaji pelajaran di samping informasi untuk kalian.

Anda mengalami masalah tiada 'mood' dan rasa 'pleasure' pada setiap hari selama dua minggu? Dan mempunyai empat atau lebih daripada gejala-gejala di bawah?
  1. Tidak berminat lagi dengan perkara yang anda minati
  2. 'Low self esteem'
  3. Tidak mau bergaul dengan orang
  4. Berperasaan untuk menyakiti diri anda
  5. Berasa penat dan tidak bertenaga
  6. Sukar menumpukan perhatian
  7. Rasa bersalah menguasai diri
  8. Terbangun awal pagi
  9. Berasa pada tahap paling rendah sebaik terjaga dari tidur
  10. Kurang/lebih selera makan
  11. Kurang/naik berat badan
  12. Masalah sembelit
  13. Kurang nafsu seksual
Maka, anda sebenarnya mempunyai masalah depresi/tekanan. Bagaimana sesetengah orang boleh tertekan dan tidak sesetengah yang lain? Faktor-faktor yang memainkan peranan adalah:
  • Genetik
  • Bikokimia: serotonin
  • Hormon: cortisol, melatonin, oestrogen
  • Kejadian yang menyebabkan stres: penceraian, kehilangan, masalah kesihatan, baru melahirkan, kehilangan kerja
  • Faktor-faktor lain: penyakit fizikal, sentiasa dalam keadaan kesakitan, tiada perhubungan intim
Bagaimanakah cara mengatasinya?
  • Rawatan psikologikal seperti 'cognitive therapy.'
  • Jika mempunyai gejala biologikal, ubat anti-depresi boleh dicuba. Jika pesakit tidak mahu mendapatkan nasihat pakar, ubatan herba boleh dipertimbangkan, seperti St John's wort yang boleh didapati di farmasi.
  • Jika halusinasi dan delusi wujud, pesakit mungkin memerlukan rawatan fizikal seperti 'electroconvulsive therapy' dan juga ubat anti-depresi
  • Pesakit mungkin perlu dimasukkan ke wad jika mempunyai masalah sosial, berkeinginan tinggi untuk membunuh diri, atau terlampau menyendiri.
Bagaimana dengan kesihatan kalian? Dapatkan bantuan sepatutnya jika anda atau orang-orang yang anda kenal mempunyai masalah di atas.

Jaga diri kalian.

Saturday, March 08, 2008

lapan mac

Jika anda rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas dan telah mendaftar sebagai pemilih: Selamat mengundi.

Jika anda ahli SPR: Kenapa tak balas e-mel aku yang semangat hendak mengundi ni, hah?


Jika anda wanita dan boleh memahami apa yang aku taip: Selamat hari wanita sedunia.


Jika aku hidup empat tahun lagi: Aku nak balik mengundi. Dan mungkin bertanding sebagai calon bebas.

Friday, March 07, 2008

gayat

Cerita ini dah basi bagi orang-orang yang tinggal di sekitar aku. Tapi bukan semua kalian yang membaca tinggal di sekitar aku, kan? Jika ya, maka, selamat berkenalan wahai makhluk halus.

Apapun, pengajaran yang ingin aku sampaikan di sini adalah: Hidup ini ada belok kanan, belok kiri. Tak akan ada yang lurus.

Sepatutnya aku sudah mula kelas sejak Isnin lalu. Akibat mabuk udara pada Jumaat lepas, aku tak menghubungi 'supervisor' aku dan aku benar-benar tak tau mana arah tuju aku untuk hari Isnin. Sebenarnya, nombornya juga aku tak ada. Macam mana nak 'contact'? Aku cuma bergantung pada 'info' yang diberi oleh seorang rakan yang pernah bekerja dengan 'supervisor' yang sama. Dan rakan ini telah menyuruh aku bertanya kepada salah seorang ahli rumah aku tentang 'direction' untuk ke sana. Ah, panjang ceritanya. Orang yang sepatutnya memberi 'direction' pula telah ke London sepanjang hujung minggu dan sukar untuk dihubungi. 'Walaweh. Macam mana nak pergi ni,' getus aku. Aku mula panas punggung.

Pagi-pagi Isnin aku cuba lagi untuk menghubunginya. Kali ini berjawab. Katanya, "Kau ingat tak 'hall' yang Za tinggal tu. Kau jalan yang nak ke arah 'town'. Lepas tu kan ada jalan yang berbukit sikit, 'instead of' naik atas bukit, kau turun."

Er..OK. Nasib baik aku tau bukit mana yang dia maksudkan. Kalau kalian, kalian faham?

Tambahnya lagi, "Lepas tu kau jalan terus je. Ada lalu bawah jambatan, ada 'flyover', kau jalan je terus. Nanti ada 'park'. Aku pun tak ingat sangat. Aku pernah pergi sekali je."

OK. Aku tekad untuk mencuba.

Aku keluar dan ikut arahannya. OK. Turun bukit, bukan naik. Jalan terus. Lalu bawah jambatan. OK. Jalan terus. OK. Hah, ini ada 'flyover'. Oh, ada lampu isyarat. Melintas. OK. Jalan Terus. 'Park'? Ini ke 'park'? Ni macam semak-samun tepi jalan. Eh, 'park' lah agaknya. Jalan terus. Eh, jambatan lagi? Tadi dia suruh aku naik atas jambatan ke lalu bawah jambatan? Lepas jambatan ni kot. Terus. Terus. Jumpa hutan. Naik bukit. Dan terus lagi hingga aku sampai ke satu daerah yang lain. Mana???? Aku teruskan juga perjalanan. Hujan batu mula turun dan aku fikir, 'Eish. Tak boleh jadi ni. Aku kena balik.' Dan aku pun menahan sebuah bas yang menuju semula ke bandar Preston.

Manakah bangunan bedebah itu? Sepatutnya perjalanannya hanya memakan 15 minit tapi aku dah pun menapak hampir saju jam. Eh. Aku tipu kaliankah? Tak kisahlah. Sampai rumah aku cuba mencari arah sepatutnya aku pergi. Rakan rumah aku dah pun balik dari London. Tergelak aku melihat 'google map' hasil carian aku. Cuba kalian perhatikan.



Aku telah memulakan perjalanan aku dari 'arrow' merah pada imej pertama. Dan aku sepatutnya berhenti pada 'arrow' biru sebelum sungai. Tapi aku telah meneruskan perjalanan sehingga 'arrow' biru pada imej ketiga. Dan paling bodohnya, bangunan tu memang dah sebelah kanan aku sewaktu aku nak melintas di lampu isyarat yang aku nyatakan tadi. Tapi entah siapa yang bijak sangat membina bangunan 'membontoti' jalan, maka aku tak nampak nama bangunan itu. Bahagian belakangnya menghadap jalan manakala bahagian depannya tersorok. Dan 'park' yang kawan aku sebut itu, bukanlah taman seperti yang aku jangkakan. Sebenarnya dia menyebut 'industrial park'. Aku tak tangkap perkataan pertama itu dan sibuklah mencari taman berdaun hijau. Waahhh!

Lawak. Paling lawak adalah waktu merentas jambatan yang tak patut aku rentas. Sungai tu besar OK. Dan deras. Dan jauh di bawah sana. Aku cukup gayat sewaktu melintasinya. Kalian bayangkan, jambatan itu berupa 'highway' yang sangat sibuk dengan sedikit saja ruang untuk pejalan kaki, dan tanpa 'divider' antaranya dengan jalan raya. Tak cukup dengan sungai deras sebelah kanan, kenderaan deras di sebelah kiri, tak ada divider, angin deras pun nak datang dari arah depan, kiri dan kanan aku. OK. Aku punya jantung berdegup kencang. Aku fikir sama ada aku akan jatuh dalam sungai kena tiup angin, atau pun kena tiup jatuh ke atas jalan raya dan dilanggar. Dua-dua pun mati, semata-mata nak cari bangunan tempat 'supervisor' aku bertapa.

Sudah. Ini bukan cerita lawak. Kalian sepatutnya menangisi nasib aku. Ahah. Hasilnya? Aku tak payah pergi sekolah sangat minggu ni. Cuma perlu datang pada hari Jumaat, iaitu tadi dengan membawa minda kosong.

Ingat. Tiada apa yang 'lurus' untuk mendapatkan apa yang kita mau dalam hidup. Belok kanan OK. Belok kanan di tempat yang sepatutnya. Dan, oh. Cuba kalian teliti peta itu. Kalau hati aku tak tergerak untuk berpatah balik, mungkinkah aku sudah berehat-rehat di Liverpool sekarang?

Tuesday, March 04, 2008

rocky life

Sumber gambar: Nicole Chocoa Heaven

Masih sedang dalam proses menaip laporan tentang 'posting' aku di Putrajaya. Cerita lawak tak dapat disertakan di sini. Cuma sekarang, kan 'best' kalau boleh kunyah-kunyah Rocky. Hmm.
Terutama sekali kalau warna dia 'pink'.

Waaaaaaaaaaaaaaaaaa!!! Tiba-tiba nak makan Rocky.

Dan..waaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa!!! Tiba-tiba 'homesick'!

Sunday, March 02, 2008

kehilangan


Sumber gambar: Rockdiscography.

Kehilangan. Kalian pernah kehilangan?

Tak banyak yang ingin aku taip pada isen kali ini. Cuma seorang rakan sedang dalam proses 'grieving' menghadapi sebuah kehilangan. Kehilangan sementara yang biasa pada mata orang tapi tak pernah dilaluinya lantas menjadikannya seolah-olah suatu kehilangan yang kekal.

'Grieving' atau perasaan berdukacita adalah normal bagi mereka yang kehilangan. Ia tak mempunyai jadual dan jangka masa yang termaktub. Terpulang kepada setiap individu, perasaan itu boleh wujud dalam masa minggu, bulan, atau bertahun-tahun lamanya. Beberapa informasi telah aku dapati daripada laman sesawang ini.

Cara-cara untuk menangani perasaan ini ada banyak. Antaranya adalah:
1. Cuba mengekspresikan diri dalam bentuk yang kreatif seperti penulisan dalam jurnal, buku skrap, lukisan atau lain-lain hasil seni.
2. Menjaga kebajikan fizikal. Senaman dan pemakanan hendaklah tidak diabaikan.
3. 'Don’t let other people tell you how to feel, and don’t tell yourself how to feel either.' Dukacita itu adalah milik peribadi kalian. Jangan terlalu mempersoalkan kenapa kalian bersikap sedemikian dan orang lain tidak pula seperti kalian.
4. Pelan masa hadapan. Bersedialah untuk menaiki 'roller-coaster' emosi dan ketahuilah bahawa ia adalah normal.
5. Dapatkan sokongan dari keluarga, rakan-rakan, doktor, dan sesiapa saja yang kalian rasa dapat membantu kalian.

Indahnya bagi kita yang beragama Islam, rasa dukacita itu boleh cuba dikikis dengan bacaan doa yang tulus, bacaan Yassin secara khusus dan al-Quran secara am, dan tentunya solat-solat sunat. Cuba untuk menyatakan perasaan sebenar-benarnya pada Ilahi adalah sesuatu yang indah dan menenangkan. Jangan lupa bahawa perkataan 'redha' adalah kata kunci dalam situasi ini.

"Wahai Zat yang Menghilangkan dukacita, wahai Zat yang Menghilangkan, hilangkanlah! Wahai Zat yang Menghilangkan, hilangkanlah! Hilangkanlah dari kami segala kesusahan dan dukacita kami."

Ramai orang masih tidak mengambil peduli atau buat-buat tidak tahu tentang perasaan dukacita dari kehilangan yang dialami oleh keluarga dan rakan taulan. Ia seakan tidak dikenali di kalangan masyarakat kita. Situasi ini menyebabkan perasaan dukacita akhirnya terarah kepada masalah depresi. Aku harap kalian dan aku tak terlepas pandang akan hal ini. Seperti fizikal, emosi juga adalah sesuatu yang perlu dijaga. Badan yang sihat bermula dari akal yang sihat.

Aku juga dalam proses kehilangan. Kehilangan yang sengaja aku cari untuk menguji keyakinan diri. Bagi yang kehilangan, besar atau kecil, percayalah bahawa kalian tak sendirian.

Jaga diri kalian.

Saturday, March 01, 2008

last men standing






Hah. Teruja untuk menulis isen apabila aku mendapati bahawa templat 'creat posting' aku sudah kembali kepada sediakala. 'Trick'nya hanyalah aku perlu menekan butang 'refresh'. Ceehhh!

Isen ini bersempena dengan penjejakan kaki aku semula ke tanah penjajah. Aku bertolak dari Johor pada jam 2.30pm dan sampai di rumah Atok lebih kurang jam 6pm. Hujan lebat sepanjang perjalanan menyebabkan kami tak menyinggah di mana-mana. Kasihan Along. Mengantuk. Tapi sebaik sampai di Kajang, mama telah meminta Along berhenti untuk membeli sate. 50 cucuk ayam, 50 cucuk daging, dan 10 cucuk perut.

Aku sempat lagi menolong kakak ipar aku memasak kari ayam dan terung sambal di rumah Atok. Tapi kempunan kerana aku tak makan lauk masakannya. Kenyang sate masih berbaki. Aku bersiap setelah Maghrib dan menunggu abang aku tiba untuk membawa kasut hitam aku. Ah, lambat mamat ni. Terus saja beredar sebaik dia sampai. Aku dah lambat. Janji dengan budak-budak ni untuk sampai di KLIA jam 10pm. Siapa 'check-in' dulu jodohnya pendek.

Minci dah pun beratur. Waktu aku sampai, dia sudahpun ada di depan sekali barisan yang panjang. Aku dan Za sudah mengomel panjang. Eish. Macam mana nak dapat 'seat' sama macam ni. Haha. Dipendekkan cerita, Minci terus saja 'call' aku untuk memberitahu yang nama kami tak ada dalam senarai penumpang pada malam itu. Hah? Terkejut. Dan para ibu bapa yang ada di tempat kejadian terus menjadi kalut dengan persoalan 'apasal?' Aku yang sedari tadi berasa bersalah kerana lewat tiba bertambah 'tension'. Minci kata dia tenang. 'Relax'. Itu saja yang diulangnya. Haha. Pelik. Semacam tengah 'high' rupanya. Sebab dia jarang begitu.

Kami terus saja ke kaunter lain meminta bantuan. Ah, lama. Tapi lama yang akhirnya berhasil. Bukan lama yang tak membantu. Kami ditempatkan dalam 'flight' yang sepatutnya kami naiki. Masalah timbul kerana sewaktu tiba di Malaysia pada Disember lepas, oleh kerana kami terlepas 'flight' sebenar kami dari Dubai ke Malaysia dan diletakkan ke penerbangan yang berbeza, secara automatik nama kami untuk penerbangan yang lain-lain telah di'cancel'. Maka aku pun berasa 'hangat' dan rasa nak sepak Emirates yang suka-suka hati mewujudkan problema yang meruntunkan jiwa. Nasib 'settle', kalau tidak mau ada yang makan kasut 'purple' aku.

Ada makhluk wujud di KLIA tanpa kebenaran aku. Malahan bersalam dengan segenap lapisan ahli keluarga aku. Adeh. Sakit. Pantas saja dijeling dan dibuat 'dek' oleh aku. Jet, orang nak hantar engkau pun tak boleh kan? TAK BOLEH, OK!!!

Eh, macam panjang benar cerita aku. Oh, kesimpulan. Penerbangan ini membosankan. Dari KL ke Dubai, OK. Aku tidur kerana memang ia adalah waktu tidur. Di Dubai kami lepak di Starbucks menghabiskan Dollar Amerika pemberian mama aku. Aku tak tau lah orang Arab pandai ke tidak lepak di situ. Tapi untuk menghidangkan kami kek karot dan cinnamon roll yang keras umpama batu adalah pelik wal-ajaib. Menyebabkan aku terfikir, "Adakah orang ini telah tersalah bagi kita makan makanan 'display' iaitu plastik?" Tak apa. Kami bantai makan lantaran penat dan lapar.

Penerbangan dari Dubai ke Manchester pula lebih haru. Skrin televisyen aku tidak berfungsi. Atau mungkin aku dan Minci buta IT untuk menggunakannya. Oleh itu aku banyak tidur. Dan hanya bangun untuk makan. Aku bangun untuk melihat skrin yang sama dan akhirnya membuat keputusan untuk menghafal apa yang tertulis di skrin tersebut:
'Want to know how far you are from our destination, how fast the aircraft is travelling, the temperature outside? These answers and more can be found here. Airshow is a moving map display connected to the plane's navigation system. Constantly updated during flight, the data means at any time you can check your position and expected arrival time.'

Rutin yang tidak sihat ini dipasangkan pula dengan kapal terbang yang terlalu banyak bergegar menyebabkan aku mulai merasa mabuk. Waktu itu kapal terbang sudahpun mau mendarat. Aku toleh ke arah Minci dengan lemah. "Kamen...mabuk." "Aku pun sama. Kau dah pucat." Aku diam. Dan cuba menahan rasa mual. Aku tutup mata dan layan kepala hinggalah tayar kapal terbang mencecah bumi Manchester. 'Landing'nya tidak lancar. Menurut kata Za yang aku temui selepas kejadian, kapal terbang itu mendarat tidak 'centre' dan senget ke kiri. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Za di talian 1-800-PILOT-SIMPANAN. Mangkok hayun. Bertambahlah kemabukan yang aku tanggung. Aku sudah tak mampu nak bangun walaupun penumpang-penumpang sudah mula meninggalkan kapal terbang. Kata Minci, "Tak apa. Take your time," umpama 'misi-misi' di hospital. Ini adalah iklan racun makhluk perosak: Ketahuilah bahawa Minci selalu ada efek positif kepada orang ramai tapi tidak selalu kepada dirinya.

Aku bangun sebaik penumpang terakhir bangun untuk keluar dari kapal terbang. Sudah siap 'sickness bag' di tangan aku. Aku jangka aku tak akan muntah. Tapi tidak, sebaik bangun, aku batuk sekali dan kababoom...segala isi perut melimpah keluar. Aku kembali duduk. OK. Kasik perah isi perut sampai habis. Aku mengesat air mata dan tersengih pada Minci. Ah, lega. Nak aku 'describe' isi itu? Haha. Minci memintakan tisu. Pramugari terus saja memberi aku tisu yang banyak dan tidak cukup itu, satu 'tray' sapu tangan pula diletakkannya disebelah aku. Waahh. Perli ke apa?

Kemudian barulah aku bangun dan meninggalkan kapal terbang. Padan muka Emirates, kena muntah sama aku. Laluan sudahpun dipenuhi dengan pekerja-pekerja yang mau membersihkan kapal terbang. Kami orang terakhir meninggalkan pesawat. Eh, bukan. Ada makcik berkerusi roda dibelakang kami. Tapi dia tak berdiri. Maka, kami masih: 'The Last Men Standing.'