Wednesday, August 20, 2008

tiada


Aku nak pergi ni. Hilang kejap eh. Jangan ditanya ke mana aku pergi.

Bermula Rabu sampailah hari yang tak aku ketahui apakah tarikhnya. Isnin atau Selasa mungkin. Atas tiga urusan duniawi:
1. Menguruskan hal kerjaya yang tertangguh. Haha.
2. Menghadiri kenduri kahwin dan pindah rumah.
3. Bertemu rakan-rakan.

Tambahan urusan:
4. Memberi sokongan padu kepada mahkluk yang akan memberi ucapan 'toast'.

Kalau kalian terlihat kelibat yang seumpama Jet di mana-mana dalam Malaysia, jangan lupa menegur. Aku patahkan 'shinguard' kalian karang. Haha. Bajet artis lah pula!

kenduri


Musim cuti sekolah. Musim orang kahwin. Musim berjumpa dengan orang yang tak disangka.

Aku tak pasti sama ada kalian masih ingat. Aku tak pasti sama ada aku pernah bercerita. Tentang seorang budak lelaki yang selalu mengganggu aku sewaktu dalam darjah dua dan tiga. Budak lelaki yang aku pukul. Dan budak yang berpindah sekolah kerana aku. Aku rasalah. Pindah sebab isu yang tercetus melibatkan aku.

Aku ke majlis kahwin sepupu kepada kakak ipar aku di Johor. Pernah beberapa kali aku melalui kawasan itu. Aku kenal rumah dia yang beratap biru. Setiap kali aku lalu, aku akan berfikir sama ada dia masih hidup. Haha. Mungkin rasa bersalah masih berbaki dalam hati aku.

Kali ini sama juga. Aku melalui rumahnya. Hidup lagi kah? Bila kereta dah berlalu, aku berhenti berfikir. Tapi mungkin Tuhan nak meredakan kalut yang aku fikirkan selama 15 tahun ini maka diberikan aku kesempatan untuk bertembung dengannya di majlis kahwin itu.

Sudah besar. Haha. Tapi mukanya masih sama. Masih boleh dicam. Aku seakan lega dia masih hidup. Lega dia menjadi 'manusia'. Berkali-kali aku menoleh ke arahnya dengan harapan dia akan mengenali wajah aku sebagaimana aku mengenali wajahnya. Tergerak hati aku untuk pergi menegur dia dan memohon maaf. Aku hanya melihat dari kejauhan. Tak ada kekuatan nak bersemuka dengannya. Mungkin juga aku salah orang. Aku tak tau. Ikhlasnya, hati ni masih rasa bersalah walaupun apa yang aku nak tau selama ini, sudah aku ketahui hari itu.

Mungkin lain kali, di saat nanti, akan datang kekuatan untuk menyuarakan apa yang ada dalam hati aku.

Mungkin nanti. Bukan sekarang.

Friday, August 15, 2008

alaaa..lagi??


Cis! Buat lawak betullah. Aku ingatkan sekali tu saja pengalaman yang akan aku dapat. Rupanya tidak. Aku terpaksa ke balai untuk kali kedua.

Bukti ketidak-terurus-an aku benar-benar terbukti. Sijil SPM dan Matrikulasi aku didapati turut hilang semalam. Haha. Macam laporan berita pula tona ayat ini. Eish. Bodoh ke tak bodoh. Setelah tamat meraung-raung dan bertanya pelbagai pihak, pilihan aku hanya satu: KE BALAI SEMULA. Fikiran aku meliar hingga ke peringkat 'tak mau bekerja' hanya kerana aku tak mau ke sana lagi. Tapi apakan daya, aku ni dah tua bangka. Belajar tinggi-tinggi, tak nak kerja pula, menghabiskan beras mak-ayah, kecil-kecil tak nak mati, dah besar menyusahkan orang dan segala kutukan yang sejajar dengannya akan keluar dari mulut manusia sekitar. Ya, aku tau. Fikiran aku memang jauh dan gelabah tak kena tempat.

Kalian tentu dah tau apa yang berlegar dalam fikiran pegawai polis, kan? Nasib baiklah senyuman aku menawan dan digemari ramai. Haha. Jadi pegawai polis berkata dengan lemah lembut:

'Hari tu hilang IC. Hah, hari ni hilang apa pula?'

'Sijil SPM dengan Matriks.'

'Awak ni asyik hilang barang je. Dah cari berapa hari?'

'Semalam sehari suntuk.'

'Eish. Ni kang satu hari nanti awak pula yang hilang.'

Aku sengih saja. Seakan profesional, aku telah siap menulis butiran diri dan nama sijil yang hilang siap-siap sebelum masuk ke balai. Haha. Hari ini kurang 'stress'nya. Mungkin kerana sudah terbiasa. Jadi semua urusan berjalan cepat dan lancar.

Aku sempat berbual-bual dengan pegawai polis. Ayat paling 'best' aku dengar:

'Kalau ada masa, datanglah lepak-lepak sama. Awak tu bukannya ada apa nak buat dua bulan duduk dekat rumah.'

Haha. Matilah 'bonding' dengan polis. OK kalian. Lepas ni, tak ada lagi sesi melepak di mapley. Aku lepak balai, sudeh! Apa ke hal nak lepak balai? Pelik...pelik.

Wednesday, August 13, 2008

balai


Semalam aku ke balai polis. Haha. Menaip ini pun aku rasa nak tergelak walaupun jam baru menunjukkan jam 8 pagi dan aku tak cukup tidur. Jika kalian tau bagaimana aku yang sebenar, waktu ini aku akan meragam.

Balai polis. Pertama kali aku ke balai polis untuk membuat aduan kehilangan kad pengenalan. Ikhlasnya kalian, aku 'nervous' tapi aku kuatkan juga semangat untuk pergi. Berulang-ulang kali aku ajak Mama dan Along. Aku kata, 'Mama yang hilangkan. Mama kena ikut.' Haha. Pagi itu, sebelum semangat aku bubar, aku terus saja mandi dan bersiap-siap. Kelihatan seperti aku 'excited' untuk ke balai walhal aku tak nak api semangat itu padam sebelum waktunya.

Aku keluar kereta dan kami bertiga berpandangan. Mama, Along, aku. Siapa nak masuk dulu. Akhirnya anak saudara aku yang berusia dua tahun terkedek-kedek masuk ke dalam balai dahulu dengan kami membantunya menolak pintu. Balai lengang. Yang ada cuma seorang pegawai polis. Waktu itu jam sudah pun melepasi pukul 12 tengahari tapi seakan tak 'register' dalam fikiran aku bahawa mereka keluar makan. Manalah aku tau. Aku tak pernah pergi balai.

'Part introduction' ini akan aku ingat sampai mati. Dengan 'nervous'nya aku ke kaunter dan memberi salam. Kataku dengan berdiri tegak dan memintal-mintal tali beg, "Kad pengenalan saya hilang. Saya nak buat 'report'." Segala penerangan aku berikan dalam posisi tersebut. Mulut aku bercakap tanpa henti hinggalah cerita aku tamat. Pegawai itu tersenyum nak tahan gelak, "Eh, duduklah dulu." Ya ampun! Malu aku! Oh ya, satu lagi fakta yang menyebabkan aku 'nervous' tak tentu pasal adalah sebab pegawai itu muda dan sangat kacak. Haha. Kalau pakcik tua tak 'handsome', dah lama aku duduk selamba dan meneruskan cerita sambil mengangkat-angkat tangan penuh aksi. Oh, I wish!

Keluar segala fakta bahawa aku belajar di luar negara. Pegawai yang kacak banyak bertanya, penuh dengan rasa takjub.

'Oh, belajar mana?'

'Manchester.'

''Best' tak belajar luar negara?'

''Best'. Tapi tak boleh duduk lama-lama.'

'Tak takut?'

'Hah, nak takut apa?'

'Awak tak apalah. Tau cakap mat salleh.'

Aku tergelak.

'Ingatkan Myvi yang hilang.'

Bertambah gelak aku.

Sesi membuat 'report' terasa sangat lambat. Kerana dia lambat-lambat membuat kerja dan terpaksa mengulang kerja kerana taipan 'report' yang pertama 'hilang'. Maklum sajalah, zaman IT dan komputer. Aku yang masih berbaki 'nervous' memandang dinding, melayan anak saudara, dan melakukan semua benda yang pelik-pelik. Dalam pada masa yang sama, aku tersengih-sengih nak menahan gelak. Aku masih tak percaya aku berada di balai. Dan di hadapan pegawai yang kacak.

Selesai urusan 'report', aku mula hendak membayar yuran. Waktu itulah berduyun-duyun pegawai polis masuk. Salah seorang kelihatan lebih 'senior' daripada yang lain. Dia menyibuk nak melihat kenapa aku ada di balai. Dan seperti orang-orang tua biasa dia berkata, "Hah? Hilang IC?" Kecoh ah lu pakcik. Buat-buat terkejut pula. Macamlah aku seorang yang hilang IC.

Aku terpaksa mengulang cerita. Kali ini lebih laju dan yakin. Aku menceritakan bagaimana aku meninggalkan IC aku di Malaysia kerana aku belajar diluar negara dan ianya hilang ketika rumah aku sedang diubahsuai. Aku siap menambah, "Saya memang tak bawa ke sana sebab tak mau hilang. Abis dah nak hilang. Itu tak dapat nak dielakkanlah," apabila dia meningkah bahawa aku patut membawa IC aku bersama ke luar negara. Hoh, kadang-kadang aku agak 'blunt'. Nasib baik aku tak dicampak masuk ke dalam lokap. Dia berlalu pergi, mungkin puas dengan jawapan aku. Haha. Pegawai polis yang sedari tadi melayan aku berkata sesuatu dengan nada berbisik, tak dapat aku fahami kerana pelat Kelantannya yang pekat. Tapi seakan berkata, "Bagus awak cakap tu."

Dan aku sangat yakin itu yang dia katakan kerana selepas itu lebih jelas kedengaran dia bersuara, "IC orang, suka hati oranglah! Ya tak?" Dan aku cepat-cepat keluar balai, masuk ke dalam kereta dan tergelak besar.

Hari ini tengoklah. Mungkin nak bergaduh dengan orang di Jabatan Pendaftaran pula. Haha!

Monday, August 11, 2008

jangan main api


Shit! Baru dua hari di rumah aku sudah mula bosan. Sangap. Jadi, mari menulis. Kalau aku boleh memandu, dah lama aku lesap ke Singapura. Haha.

Satu hal kalian perlu tau. Kalau mengutuk orang, pastikan orang yang kalian kutuk itu tidak ada kena-mengena apatah lagi mempunyai pertalian saudara dengan orang yang mendengar kutukan dari mulut kalian. Aku pun kurang jelas orang spesis apa yang bersikap begini, tapi aku gelarkan mereka ini BODOH!

Aku tak tau bagaimana aku nak memulakan cerita ini. Cerita tentang kutuk-mengutuk. Aku ini bukanlah malaikat dan tak juga lari daripada mengutuk orang. Jadi, maafkan aku atas isen ini yang mungkin menampakkan kelemahan aku sendiri. Aku tak pasti. Aku perlukan kalian untuk menuding kesilapan aku.

Pembantu rumah Mama baru saja aku kenal buat pertama kalinya, semalam. Sebelum ini, ada aku mendengar desas-desus tentangnya tapi terlalu sedikit dan aku benar-benar yakin bahawa sikap aku semalam tidak dipengaruhi oleh tanggapan aku terhadap dirinya. Selama ini aku hanya mengelak apabila orang mau bercerita buruk tentang seseorang yang tak aku kenali. Kerana pada aku, selagi dia tidak mencari pasal dengan aku, aku tak perlu ambil tau apa-apa hal.

Sejak aku sampai, dia asyik bertanya itu dan ini seakan-akan mau 'bonding' dengan aku. Dan dengan selambanya (sebanyak tiga kali dalam masa sehari) meminta baju-baju aku yang baru agar diperturunkan kepadanya. Itu tak mengapalah, tapi aku bukanlah manusia yang cepat 'warm' dengan orang (bukanlah ciri doktor yang baik) dan perilakunya membuatkan aku berasa agak kekok. Semakin hari berlalu, semakin bising mulutnya. Hinggakan dengan tak berotaknya dia mengutuk kakak-kakak aku. Bertubi-tubi, kalian. Bertubi-tubi kutukan itu menyinggah telinga aku. Tak perlulah aku cerita apa yang dikutuknya. Aku hanya bersabar, aku senyum dan diam. Kerana aku tau cakap-cakapnya tidak berasas. Semakin aku diam, semakin ligat dia bercerita dan ikhlasnya kalian, aku tau bahawa cakap-cakapnya itu tidak benar. Hinggakan sampai satu tahap apabila dia berkata 'Kakak kamu tu kedekut ya orangnya. Daripada siapa agaknya dia warisi sikap buruk itu?', aku tersenyum sinis. Aku palingkan wajah aku kepadanya dan berkata dengan serius, 'Kamu jangan cakap yang buruk-buruk pasal kakak saya ya?'Aku tak ingat apa lagi yang aku katakan kerana aku agak marah tapi sedikit pun aku tak meninggikan suara. Satu pencapaian tinggi dalam hidup aku. Aku pergi meninggalkan dia.

Dia kejar aku hingga ke dalam bilik. Tau pula takutnya bila aku marah. Digesanya aku agar tidak memberitahu kakak aku. Kerana takut dimarahinya pula. Aku mula membuka ayat, 'Kamu, jangan suka-suka hati cakap yang buruk pasal kakak saya. Kamu baru kenal dia sebulan. Saya ni dah kenal dia selama 24 tahun. Saya lagi tau dia macam mana. Kamu, kalau tak mau kena marah, kamu jaga mulut kamu. Kalau kamu buat baik dengan orang, orang akan buat baik sama kamu.' Berulang-ulang aku tegaskan tentang sikap berbuat baik pada orang lain dan menjaga mulut. Aku menjaga tona suara aku sepanjang percakapan. Anak-anak saudara aku berada di hadapan kami. Cakap aku ini bukanlah cakap-cakap kosong. Memang benar, antara kami tiga beradik perempuan, kakak aku itulah yang paling lembut dan baik.

Dia mula gelabah dan meminta ampun. Berkali-kali dia sujud pada kaki aku. Lagi bertambah kemarahan aku. Kata aku, 'Bangun! Saya bukan Tuhan, kamu nak sujud-sujud saya.' Masih juga tak sudah-sudah dia meminta aku berjanji agar tidak memberitahu kakak aku. Lagi satu hal dia tak tau tentang aku: aku lebih tau apa langkah terbaik untuk meredakan situasi buruk. Aku sudah belajar hidup secara diplomatik sejak aku berusia 14 tahun, aku tau apa hal yang boleh disampaikan dan apa hal yang perlu didiamkan. Tujuan aku satu: Untuk menenteramkan keadaan. Dan jika sekali aku mengatakan bahawa aku takkan menyampaikan hal itu kepada yang terlibat, aku TAK AKAN sesekali berbuat sebaliknya. InsyaAllah, kata-kata aku boleh dipegang.

Aku menamatkan malam itu dengan menghantar dia ke pintu bilik dengan ucapan selamat. Esoknya, tak banyak yang hendak diperkatakannya kepada aku. Semalam adalah satu 'warning' dan kalau kau benar-benar nak hidup lama dengan aku dalam rumah ini, satu saja yang perlu kau lakukan: JAGA MULUT. Senang bukan? Sekarang kebarangkalian aku untuk percaya bahawa kau mengutuk adik-beradik aku iaitu anak-anak majikan kau GEMUK dan GENDUT adalah sangat tinggi.

Ya Allah! Aku tak mengerti kenapa perlu ada mulut sejahat itu. Bukankah lebih mudah menyimpan segala percakapan buruk itu dalam hati? Sekali lagi, maaf atas kelemahan diri aku sendiri.

Ah! Esok aku mau ke balai polis untuk membuat laporan (bukan tentang dia tapi tentang kad pengenalan). Salam sayang.