Friday, November 14, 2008
neves siot
OK. Hantu dah merasuk jiwa aku. Hantu punya kementerian. Tiba-tiba jiwa aku bersalut risau. Walaupun perkara ni dah banyak kali dibincangkan, entah kenapa aku nak risau juga. Tentulah ia berkait rapat dengan 'posting' yang akan aku ketahui tak lama lagi.
Pandai. Memang pandai aku bercakap. Aku kata pada Bie, 'Kenapa kalau jauh? Alah..tak payah risaulah. Kalau jauh pun, tak jadi masalah.' Sebab masa itu tak ada faktor luaran yang mencucuk-cucuk jiwa kental aku. Aku rasa aku boleh hidup di mana saja. Walaupun berjauhan.
Aku memang bodoh. Waktu aku 'apply' aku fikir, 'Ah, mampus kau. Kalau aku tak dapat Johor, suka hati kaulah nak hantar aku ke mana. Aku tak kisah.' Oooo..berlagak. Masa itu bolehlah cakap. Waktu masih belum kenal.
Bila ayat-ayat yang dua ini keluar, aku terus menggelabah:
"Belum kahwin kan? Senanglah dia nak hantar ke Sabah, Sarawak."
"Diorang cakap JB agak 'busy'. Hospital kedua 'busy' lepas Klang."
Arghhhhh! Terpaksa aku jilat balik ludah aku. Ludah yang dah bercampur lumut, kulat, habuk, air liur orang lain. Aaaaaa!!!! Aku risau. Sumpah aku risau. Tak ada yang tidak risau melainkan risau-risau belaka. Hari itu Bie risau, aku gelakkan. Sekarang aku risau, aku simpan sendiri sebab takut nak beritahu kerisauan aku. Bila aku punyai kekuatan untuk memberitahu, dengan bersahaja jawabnya, 'Tak payah fikir. Buat penat. Doa jelah.'
Fine.
Baiklah kawan-kawanku yang mulia, yang menganggap aku 'macho', aku benarkan kalian gelak secara berjemaah. Satu, dua, MULA!!
berkursus
Kalau ada kudrat, dah panjang dah taip-an ni. Tapi apakan daya, otak aku payau-payau air tasik gamaknya. Sengal-sengal otak.
Surat dah sampai. Pulau Pangkor dah melambai. Benar-benar panggilan pulau. Aku hanya perlu menyampaikan badan aku ke sana pada hari Isnin ni, dan seterusnya bermulalah episod baru ketidakpengangguran aku. Ya ampun!!! Malas gila nak berkursus ni. Malas nak kerja. Tapi kalian, ketahuilah, antara sepuluh jenis orang Islam yang kejam adalah pemuda/pemudi yang tidak ada kerja dan tidak mau belajar ilmu serta kesopanan. Jadi, mari angkut punggung berat ini ke sana. Siapa tolong angkut, aku kasik upah pasir putih tepi pantai.
OK. Dah tak tau nak taip apa. Kiranya kalian tau lah, lepas ni, kalau aku tak muncul-muncul, aku dah kejung kat hospital. Jadi pencacai yang berjaya. Serius, aku rasa lemau yang melampau-lampau seakan-akan 'rebel' tak mau pergi, bercampur rasa 'nervous' nak naik feri. Aku nak demam macam Kamenlah!
Sekian, terima kasih.
(Rasa macam nak tulis wasiat.)
Saturday, November 08, 2008
kemalangan
Kelmarin aku menyaksikan sebuah kemalangan di hadapan mata aku sendiri. Kemalangan aku sendiri? Ah, tak payah. Memang tak ingat. Kalau cerita pun, memang diadaptasi daripada mulut adik aku. Baik kalian tanya dia.
Aku berlari anak atas 'treadmill'. Aku menghadap keluar tingkap, betul-betul memandang simpang tiga itu. Sebuah motor mau keluar simpang. Entah di pandangnya kiri dan kanan atau main keluar saja, aku tak tau. Tapi sebuah kereta laju melanggar bahagian depan motor itu. Kereta tak berhenti. Si penunggang motor jatuh ke jalan raya, pecah bahagian depan motornya. Kereta tetap terus laju. Meninggalkan tempat kejadian.
Penunggang motor bingkas bangun. Mengutip serpihan-serpihan yang bertaburan atas jalanraya. Sudahlah tak bertopi keledar. Kalau kepala kau yang kena sambar dengan kereta tadi, bagaimana?? Dari kejauhan tampak dia dalam keadaan marah. Tentu sekali, kerana yang melanggar tidak endah untuk berhenti. Tapi salah bukan di satu pihak saja. Yang keluar dari simpang pun tak memandang.
Bila manusia tak merasakan tanggung jawab. Bila manusia tak berasa kasihan. Bila manusia berasa takut.
Aku meletakkan diri aku dalam situasi penunggang motor. Sakit hati, malu, marah. Pecah motor aku!!! Dah lah tak ada orang tolong! Arghh! Aku akan cari pemilik kereta tadi. Aku akan telefon seluruh geng aku. Akan aku pukul habis-habisan pemandunya hingga longlai dipapah masuk hospital. Baru aku puas!
Aku meletakkan diri aku dalam situasi pemandu kereta. Ah, siapa suruh kau main keluar simpang tak membuka biji mata, bodoh? Eh, rambut perang dan 'punk' pulak tu, jangan harap aku nak berhenti. Entah-entah dia nak pukul aku ke. Panggil geng ke. Bukan betul orang-orang macam ni. Baik aku berambus. 'So long sucker!'
Mentaliti masyarakat yang patut diubah. Mentaliti manusia yang berlari atas 'treadmill' itu juga harus diubah.
Belajar bertanggungjawab. Beranikan diri jika benar. Atau sekurang-kurangnya, biaskan cahaya kemanusiaan dalam diri - BANTU.
Friday, November 07, 2008
latest
Tahap pelupa aku semakin membimbangkan. Mungkin sesetengah kalian sedia maklum bahawa aku telah terlibat dalam kemalangan 5 Syawal yang lalu. Boleh dikatakan kejadian tu dah meragut sedikit sebanyak daya ingatan aku yang dah sedia lemah ni.
Bagi orang-orang yang dekat dengan aku: Kamen, Fiza, Huda, NadNad, kalian dah tau perangai aku yang suka hilangkan barang dan tak terurus. Bayangkan sikap aku dulu, ditambah dengan 'short term memory loss' yang aku alami sekarang. Susah nak aku ceritakan tahap ke'kronik'annya. Biar aku kongsikan beberapa contoh. Kalian, ini benar-benar terjadi. Bukan cerita-cerita rekaan.
Mama minta air Horlicks. Aku datang bawa Milo. Itu tak apa lagi. Mama merungut. Tapi merungut senyap-senyap pada adik.
Mama minta pula air Milo. Aku bawa segelas Ribena. Mama tanya, 'Kenapa air ni sejuk?' Dah Ribena, 'What do you expect?' Aku sedar aku silap. Tapi aku terus saja tidur. Dengusku dalam hati, 'Lain kali Mama minta Ribena, aku nak kasi Horlicks pulak!'
Mama minta roti bakar pula kali ni. Nasib baik aku datang dengan roti juga. Tapi tak dibakar. Mama merungut. Aku menjerit kuat, 'Bakarlah woi! BAKAR!' Aku jeritkan diri aku sendiri. Mama tergelak.
Zuriani duduk betul-betul di sebelah. Ditanyanya pada aku, 'Jet, mana tandas?' Aku jawab 'Situ'. Aku sangat yakin dia ada di sisi sepanjang masa. Tak lama kemudian aku bertanya kembali, 'Eh, tadi kau tanya toilet, dah pergi dah?' Dia membuntangkan matanya, 'Eh..dah lah Jet!!' Sumpah aku tak ingat kau bergerak, Zu.
Bie telefon. Katanya ada kerja. Ada budak lemas. Dia sibuk menguruskan hal itu. Malam tu gaduh besar. Aku mempersoalkan kenapa dia tak 'call'? Kenapa tak 'message'? Katanya, 'Kan dah cakap. Ada budak lemas. Sibuk. Tak ingat eh?' Sekali lagi: Sumpah, aku tak ingat! Tapi bila 'check' log, memang benar dia ada 'call'.
Macam mana nak hidup kalian? Aku bakal kerja. Adakah aku akan jadi bahan maki di hospital nanti? Dah berbuku-buku vitamin B aku telan, hasilnya tetap sama. Ah, doakan aku kalian. Minta sangat-sangat.
Aku rasa, selain memori yang kian pudar, telinga aku juga makin pekak. Kualiti inikah yang kalian mahukan dalam seorang yang bakal bekerja di hospital? Janganlah ada pula nyawa yang melayang disebabkan hal ini.
'Eh, saya terlupa nak keluarkan 'scalpel ' dari perut si fulan, doktor...'
Bagus...bagus.....
Subscribe to:
Posts (Atom)