Sunday, August 10, 2008

kaki busuk


Alhamdulillah. Aku telah selamat sampai ke Malaysia oh tanah air ku. Cerita apa yang mau kalian dengar? Ah, aku masih belum bercerita tentang perjalanan Eropah aku. Malahan 'tag' oleh Majod yang telah diberinya berkurun dahulu, masih belum aku selesaikan. Jika kalian tak keberatan, mungkin kali ini aku akan hanya menyentuh sedikit tentang keadaan aku dan urusan perjalanan aku dari Manchester ke Kuala Lumpur. Jika kalian keberatan, mungkin kalian sudah gemuk.

Aku dan keluarga telah dihantar oleh Miyaki dan Pengurus Za ke lapangan terbang. Pengurus Za menangis sewaktu kami bersalaman. Tapi aku ketawa, 'Ma, tengok ni, dia nangis.' Maaf atas ekspresi emosi yang mungkin kurang sensitif ini. Jika kalian kenal aku, aku bukanlah seorang yang arif tentang bagaimana untuk menyatakan perasaan aku hingga kadang kala orang menafsir aku ini keras hati. Memang keras, tetapi tidaklah membatu dan kejam. Orang boleh menangis bergelen-gelen air mata, dan mata aku tetap akan kering tapi tak bermakna aku tak menangis bila kalian tidak melihat. Ikhlasnya, aku tak pasti apa sebabnya air mata itu mengalir. Hanya Pengurus Za yang tau, dan aku pasti terlalu banyak hal yang berlegar dalam kepalanya. Apapun, aku ucapkan jutaan terima kasih kepada kedua mereka, atas segala susah payah selama ini melayan karenah aku dan ahli keluarga. Aku rasa manusia memerlukan kesabaran yang tinggi untuk bergaul dengan aku, dan mereka-mereka ini adalah antara manusia-manusia yang hebat itu.

Satu lagi kejadian yang meninggalkan kesan di hati aku adalah apabila Kak A mula berkata-kata. Dia telah menghantar kami ke stesen keretapi. Katanya kepada Mama aku, 'Eish, sedihnya Jet dah nak balik. Mesti nanti saya rindu dia. Cara cakap-cakap dia yang manja tu.' Hahaha! Tergelak aku. Manja? Penatlah aku berlakon menjadi 'hip-hop, hard' dan 'rock'. Tetapi terkeluar juga ciri-ciri manja itu. Aku mula berfikir cara percakapan aku dengan teman-teman di rumah. Manja? Geleng-geleng kepala. Katanya lagi, dia boleh mengesan bahawa aku anak yang bongsu. Benarkah? Aku tak tau.

Selain daripada sedikit masalah teknikal seperti beg terlalu berat dan ada cecair di dalam bagasi yang tidak diletakkan di dalam plastik lutsinar, perjalanan kami berjalan lancar. Kami sampai di Dubai dan akhirnya Kuala Lumpur tepat pada masa yang dijangkakan. Bagi aku itu cukup penting, tak kisahlah tentang masalah-masalah kecil yang boleh diabaikan. Walaupun berasa sedikit tidak selesa, tetapi sekurang-kurangnya aku tidak mabuk udara seperti biasa. Aku menghabiskan masa dengan tidur ataupun membaca novel. Makanan pun tidak aku sentuh sangat. Sejak peristiwa mabuk dan muntah ketika aku pulang sebelum ini, aku menjadi loya dan tidak berselera dengan makanan kapal terbang. Sama juga isunya dengan 'jacket potato'.

Tetapi, kapal terbang, insiden pelik, dan aku sudah menjadi trio yang mungkin tak dapat hendak dipisahkan. Kalian masih ingat dengan jejaka kulit hitam yang cuba mengayat aku dalam kapal terbang satu masa dahulu? Kali ini lain pula ceritanya. Aku duduk bertiga dengan Mama dan Mak Ngah dalam satu barisan. Aku duduk dekat bahagian lorong. Sewaktu mata aku berat dan hampir terlelap, aku rasakan bahawa ada sesuatu yang menjalar pada belakang kaki dan bahagian bawah betis aku. Terus aku terjaga dan berasa segar. Aku amat-amati rasa itu yang pada fikiran aku mungkin adalah mimpi. Aku jauhkan kaki aku dari tempat duduk, dan masih juga aku terbayang-bayang rasa menjalar itu. Ah, mimpi agaknya. Kemudian aku dekatkan semula kaki aku pada kerusi. Rasa menjalar itu ada semula. Ya Allah. Apa ni??

Aku sangat yakin bahawa kaki penumpang di belakang aku bergesel dengan kaki aku. Ini bukan mimpi! Pada awalnya aku menyangka dia hanya melunjurkan kakinya dan menggoyang-goyangkan kakinya untuk tidur. Baik sangka aku ini wujud kerana tabiat tidur aku juga begitu, suka menggoyangkan kaki. Lalu aku buat tak tahu saja. Tapi kemudian lagi, kejadian berulang lagi. Kali ini kakinya naik lebih tinggi, hingga ke belakang lutut aku! Pelik bukan? Terus saja aku menarik kaki aku, jauh dari kerusi. Ini bukan perbuatan yang disengajakan ke? Itu perasaan aku.

Aku tak melihat wajah penumpang di belakang aku hinggalah aku bangun untuk ke tandas. Aku pandang dia, dan dia pandang aku. Wajahnya masih muda, dalam lingkungan 30-an, seorang Asia yang tak aku pasti bangsa apa. Hanya dia seorang yang duduk di barisan belakang aku. Barisan kerusi yang ditengah juga kosong. Kapal terbang kami agak lengang. Pada fikiran aku, ini memberikan dia kelebihan untuk berbuat demikian. Itu saja kali pertama dan terakhir aku melihat dia. Kerana selepas itu, kerusi itu kosong tak berpenghuni. Eh, buat cerita hantu ke pula kalian ni? Tak, aku sangat pasti itu adalah kerja manusia. Manusia gatal. Aih! Aku pun tak berniat nak melihat wajah dia lagi.

OK. Aku tak mau bercerita panjang. Biar kalian membuat konklusi sendiri tentang kisah aku ni. Benar atau tidak? Ilusi atau realiti? Aku nak 'blah' ni. Nak pergi tidur. Salam sayang.

2 comments:

Unknown said...

kakjet,
agaknya jejaka itu horny bila naik kapal terbang..
oh.. aku pun nanes..tapi dalam kapalterbang jer.. huhu

bzz said...

Selamat kembali ke sini semula.

Yg dirindu ditinggal-tinggalkan, yg tak rindu... Tak payah nak ingatkan.