Sunday, May 11, 2008

mama


Sana sini orang bikin isen pasal Hari Ibu. Ini versi aku.

Mama,

Mama ingat tak masa dulu? Masa tu Adik telefon dari asrama. Dia cakap lama dengan mama. Entah kenapa Jajah ‘excited’ lebih-lebih. Masa mama bercakap itulah, Jajah pun nak cakap sama. Hah, tak pasal-pasal kena marah. Terus kecil hati, rasa macam mama lebihkan Adik. Duduklah diam-diam dalam bilik. Rasa nak menangis. Tapi mama datang. Mama pujuk.

Mama,

Mama ingat tak masa dulu? Mama tak sihat. Jajah kasihan tengok mama terbaring. Jajah tanya, ‘Mama nak apa-apa?’ Mama geleng. Mama kata mama pening kepala. Jajah tanya lagi, ‘Mama nak air limau?’ Mama kata, boleh juga. Jajah buat air limau yang pada Jajah terbaik untuk mama. Tapi mama marah. Mama kata air limau Jajah terlalu manis. Dalam kecil hati Jajah ‘alter’ juga air limau. Esoknya, kita buat macam tak ada apa yang telah berlaku.

Mama,

Mama ingat tak masa dulu? Jajah belikan mama set pinggan bercorak bunga-bunga dari Lovely Lace. Mama tak pernah guna. Bertahun lamanya ia tersimpan dalam kotak. Hinggalah Kakak pindah ke rumah baru tahun lalu, mama kata, ‘Pinggan Jajah tu mama kasi pada Kakak ya.’ Jajah diam saja.

Mama,

Mama ingat tak masa dulu? Mama belikan Jajah tali pinggang. Warna hitam disulam benang warna perak. Tersembul laju saja dari mulut Jajah, ‘Tak cantiklah tali pinggang ni.’ Mama diam saja.

Mama,

Hakikatnya terlalu banyak kisah yang berlaku merapatkan kita. Kita belajar untuk menerima dan memaafkan kesalahan satu sama lain, secara zahir atau batin. Kasihannya mama mendapat anak yang garang seperti Jajah, yang sentiasa mengatakan mamanya degil. Kasihannya mama mendapat anak yang selamba seperti Jajah yang tanpa segan-silu membuat lawak seolah-olah mamanya adalah seorang kawan. Kasihannya mama melayan karenah Jajah yang ikut hati dan kepalanya sendiri saja. Mama tak bising. Mama jarang-jarang mengeluh. Jadi, apalah sangat kecil hati yang Jajah rasa selama 24 tahun ini, berbanding dengan berjuta-juta kecil hati yang mama rasa sejak 34 tahun yang lalu daripada setiap seorang anak mama yang berjumlah tujuh orang ini.

Mama,

Mama ingat tak masa dulu. Waktu itu Adik cakap kasar dengan mama. Mama tak marah semula. Sewaktu bersalaman dengan Adik selepas solat Maghrib berjemaah, Jajah pandang ke matanya dan berkata dalam menahan sebak, ‘Lain kali jangan cakap kasar-kasar dengan mama. Sedangkan berkata ‘ah’ itupun dah dikira menderhaka.’

Sebak bagi pihak.

Pihak mama.

Selamat Hari Ibu kepada semua ibu seantero dunia. Juga bacaan al-Fatihah kepada mereka yang telah meninggalkan kita.

P/S: *Jajah bukan nama sebenar. (Matilah aku)

5 comments:

myra said...

mama jet
jet anak yg nakalkah?
lambang turut sebak membaca

happy mothers day mama kepada jet dan makjet senirik

muax

Minci said...

mama jajah,
babablah jajah kuat2. dia semakin nakal dan sedang menjadi momok pink.

jetjetsemot said...

nad nad..anak makcik ni langsung tak nakal..malah rock, hip-hop and hard..epi mother's day to u too~

minci..jajah tak nakal ok..dan jangan kau ckp anak makcik ni momok pink..kerna ko lah momok sbena..sape nta yang nakal..kamu kan?berwebcam-webcam bagai..hehe..

bZz said...

adik = jajah? Ke lain?

Selamat hari Ibu kepada jett, minci, Fiza n sesapa yg nak buat periksa tu yeh...

baez-kun said...

terharu sgt membaca entry ni seraya mengalirkan air mata suci yang mengalir bagai gugurnya kelopak sakura dari pohonan rendang