Aku tak taulah, ada ke orang lain yang berumur 24 tahun sejahil aku dalam perhubungan? Apa sebenarnya benda yang orang panggil 'cinta'? Apa sebenarnya erti sebuah perhubungan? Aku betul-betul tak tau. Yang pasti, apa yang aku lihat berlaku dalam sebuah perhubungan senang sekali menjengkelkan hati aku. Usia aku sudah mau menginjak ke 25 tahun, namun aku masih beranggapan serong pada istilah cinta laki-laki dengan perempuan.
Kenapa orang bercinta? Kenapa bila aku cuba, aku mula pening? Kenapa hati aku berat? Bukankah mencari pasangan itu umpama membeli barang di pasar? Membandingkan semua yang ada di pasaran, dari segi rupa dan harga? Salahkah konsep aku? Kita memang nakkan yang terbaik dalam pasangan kita hingga dalam berkawan kita mula membedakan antara satu sama lain, semua calon-calon yang ada dalam senarai kita.
Perempuan. Memang 'fussy' dalam memilih. Teringat kakak aku yang menolak 'cinta' seorang lelaki hanya kerana dia tak berstokin apabila memakai kasut. Aku? Eish. Aku turut merasai 'rasukan' 'fussy' itu mula menerjah jiwa aku. Tak pakai 'deodorant'? Aku 'reject'. Pakai kemeja apabila keluar 'dating'? Aku 'reject'. Cara bercakap tak kena? Aku 'reject'. Berdiri tak tegak? Aku 'reject'. Gigi tak menepati piawaian yang ditetapkan? Aku 'reject'. Terlalu berani? Aku 'reject'. Terlalu penakut? Aku 'reject'. Terlalu tak memberikan perhatian? Aku 'reject'. Terlalu memberi perhatian? Aku 'reject'. Terlalu banyak cakap? Aku 'reject'. Terlalu senyap? Hah! Tentu kalian tau jawapannya. Apa yang aku nak sebenarnya?? Aku runsing. Tolonglah kalian jawab.
Sakit hati aku apabila ada yang dengan terus terang menyatakan bahawa dia tertarik dengan aku kerana aku mengingatkan dia tentang kakak angkatnya yang telahpun menjadi isteri orang. Kakak angkat yang pernah dia ajak menjadi tunangannya. Kakak angkat yang dek kerana perbezaan umur yang ketara, tak dapat mereka nak bersama, takut menjadi buah mulut orang. Hei! Kau nak aku atau kakak angkat kau? Argh! Patutkah disuruhnya aku memakai baju kurung bertanah putih, berbunga merah jambu hanya untuk menghidupkan zaman cinta monyetnya itu? Adakah aku nak menjadi watak tempel dalam kisah cinta kau yang tak kesampaian? Kau jawab!
Benar. Berdikit-dikit dalam masa 24 tahun ini aku disajikan dengan kisah-kisah yang mematangkan aku. Ujung kisah yang pasti memualkan aku untuk melaluinya lagi. Kalau kalian masih muda, ingat pesan aku ini. Mujur saja aku belajar ilmu ini tiga tahun yang lalu. Bercinta itu tak ada jalan mudahnya. Memang seronok mengetahui bahawa ada seseorang menyukai kalian. Kalau dapat, tahankan perasaan suka itu. Kalian takkan tau apakah itu suka atau cinta. Jangan mudah sangat mulut menyatakan kalian cinta, kerana apabila waktu berjalan dan kalian sedar bahawa 'cinta' itu sebenarnya 'suka', kalian akan terpaksa menjilat ludah kalian sendiri. Mengutip sisa-sisa kerosakan hati si dia yang telah kalian lakukan. Hanya kerana 'suka' banyak yang telah terlewakan. Kenali calon pasangan kalian. Ketahui cerita disebalik kenapa kalian menjadi pilihan mereka. Dan jawapan yang terbaik mungkin adalah apabila dia tak dapat memberikan sebuah jawapan.
Salam Ramadhan.